July 7th, 2009 — 12:06am
SIAPAKAH
ALLAH swt?
Di
dalam terjemahan Al Quran keluaran Kerajaan Saudi Arabia telah dituliskan
bahawa:
Allah ialah nama Dzat yang Maha Suci, yang berhak disembah
dengan sebenar-benarnya. Al Fatihah (1): Notakaki 1.
(Dzat) yang
demikian itulah Allah, Tuhan kamu maka sembahlah Dia. Yunos (10):3.
Maka (Dzat)
yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya, maka tidak ada sesudah
itu melainkan kesesatan. Yunos (10):33.
Di dalam terjemahan Al Quran keluaran
Pejabat Perdana Menteri Malaysia (Dato’ Hussein Onn) dituliskan:
Allah adalah nama khas bagi Dzat Tuhan Yang Wajibul Wujud. Al Fatihah (1): Notakaki 1.
Nabi
Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:
Demi Dzat yang
tiada Tuhan selain Dia. Terjemahan
Sahih Muslim Bk.1, 95 (1994).
Sesungguhnya
Allah itu Dzat yang Maha Indah. Terjemahan Sahih Muslim Bk. 4, 570 (1994).
Janganlah kita cuba mengkaji tentang
Dzat kerana Allah swt tidak mewujudkan jalan untuk kita mengenali DzatNya.
Sayidina Abu Bakar (ra) ada berkata yang bermaksud:
Maha Suci Dzat
tidak mewujudkan jalan untuk mengenali-Nya. Abu Al Wafa Al Ghanimi A Taftazani,
Perkembangan Tasawwuf Islam, 131 (1996).
Begitu
juga Sayid Sabiq berpendapat bahawa Dzat adalah di luar kemampuan daya manusia.
Beliau ada berkata:
Hakikat Dzat Tuhan tidak dapat diketahui, tidak akan dicapai
cara pemecahannya dan tidak mungkin dapat diperoleh keputusan terakhirnya,
sebab memang fikiran manusia ini tidak dapat mencakup sampai kepada persoalan
itu. Mengapa demikian? Kerana sengaja manusia ini tidak diberi oleh Tuhan alat
untuk mencapai tujuan tadi. Fikiran manusia dibatasi.Sayid Sabiq, Unsur-unsur
Kekuatan dalam Islam,
13 (1988).
Hakikat Dzat Tuhan tidak dapat dilihat dan tidak dapat
diketahui. Kerana fikiran manusia tidak dapat menjangkaunya dan manusia sama
semasekali tidak diberi perangkat-perangkat untuk mengetahui-Nya. Sayid Sabiq, Unsur-unsur
Kekuatan dalam Islam,
9 (1988).
Professor
Abu Ahad Dawud menegaskan bahawa orang-orang kristian cuba mengkaji tentang
Dzat dan akhirnya menyeleweng kepada konsep tritunggal kerana itu ulama khalaf
dan salaf tidak mahu mengkaji tentang Dzat. Beliau berkata yang bermaksud:
Cawangan
tritunggal daripada gereja kristian, dalam abad ke tujuh belas, telah memeras
minda wali-wali dan ahli filasafah mereka untuk mencari istilah tentang Dzat
dan Diri Tuhan; dan apa yang mereka ketemui?… kepercayaan Tuhan adalah satu
daripada yang tiga… kerana itulah ulama Islam dahulu (khalaf) tidak mahu
mengkaji tentang Dzat Tuhan. Abu Ahad Dawud, Muhammad in the Bible, 13 (1969).
Tambahan
pula DzatNya sangat berkuasa justeru itu siapa terpandang akan DzatNya pasti
binasa. Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:
Tirai-Nya
adalah nur yang seandainya terangkat pasti keagungan Dzat-Nya akan membakar
makhluk yang terpandang oleh-Nya. Terjemahan Sahih Muslim Bk.1, 228 (1994).
Allah swt
ada berfirman yang bermaksud:
Dan tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah
berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang
tabir. Asy
Syuura (42):51.
Bukan sahaja
itu, Tirai Nur yang meniraikan DzatNya juga tidak kurang hebatnya. Malaikat
Jibrail a.s. berkata bahawa ada 70 Tirai Nur yang meniraikan Dzat dan sekiranya
dia mendekati Tirai Nur yang pertama sahaja, dia akan binasa. Al Hadis (Miskatul Masabih) Vol 4, 226
(1994).
Gunung
juga hancur terkena Tirai Nur ini apatah lagi kita manusia. Allah swt ada berfirman
yang bermaksud:
Tatkala
Tuhannya menampakkan (Tirai yang menirai) DiriNya kepada gunung itu,
dijadikan gunung itu hancur luluh. Al Araaf (7):143.
Nabi
Musa as jatuh pengsan apabila melihat tirai NurNya sahaja. Allah swt ada
berfirman yang bermaksud:
Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada
waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya
berkatalah Musa, “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku
dapat melihat kepada Engkau.” Tuhan berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sanggup
melihat-Ku tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya
(sebagai sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku.” Tatkala Tuhannya
menampakkan (Tirai yang menirai)DiriNya kepada gunung itu, dijadikan gunung
itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Al Araaf (7):143.
Kesimpulan, kerana DzatNya tidak dapat diketahui
atau dilihat oleh kedua mata kita dengan itu, Allah swt tidak boleh dirupakan
ataupun diumpamakan. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:
Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia. Asy Syura (42):11.
Tidak ada seseorangpun yang setara dengan Dia. Al Iklas (112):4.
Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata. Al Anaam (6):103.
Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak
nampak oleh mereka. Al Mulk (67):12.